Suatu ketika dahulu, ayah saya pernah bertanya kepada saya,”adakah awak mahu naik kapal terbang?”. Saya pun mengiyakan tanda mahu, kanak-kanak mana yang tidak mahu naik kapal terbang?apatah lagi saya tidak usah seperti kanak-kanak kampungan, berasal dari keluarga yang sederhana, begitu sukar untuk mendapat peluang menaiki kapal terbang, sudah pasti menginginkan untuk menjejakkan kaki kedalam kapal terbang. Lalu Ayah menyambung,”belajarlah sungguh-sungguh, pasti kamu akan naik kapal terbang”. Disaat itu, saya tidak faham akan kata-kata ayah saya, bagaimana boleh seseorang menaiki kapal terbang dengan hanya belajar bersungguh-sungguh?.
Begitulah minda kanak-kanak, mereka belum terbayang lagi akan keadaan di masa hadapan. Mereka juga belum faham akan perjalanan sesuatu yang namanya kehidupan. Mereka belum jelas hala tujuan mereka. Sebab itu Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam mengibaratkan anak kecil itu seperti kain yang putih, ibu dan ayahnya lah sebagai designer-nya.
Peranan ibu bapa kepada anak bukan mudah. Tugasan mereka untuk membesarkan anak sungguh berat. Bukan saja mereka bertanggungjawab untuk kebahagian anak di dunia, malah mereka juga bertanggungjawab dalam kebahagian anak di akhirat. Di sinilah peranan ilmu sangat penting, ibu bapa mestilah mengambil perhatian tentang ilmu dan pembelajaran si sang anak. Hanya dengan ilmu saja yang dapat membawa kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Tetapi dengan syarat, ilmu yang di pelajari itu di amalkan, bukan sekadar untuk mengejar segulung ijazah saja atau untuk mendapat markah yang tertinggi.
Ilmu yang wajib di pelajari oleh seorang anak muslim ialah ilmu ugama islam yang fardhu ain. Ilmu fardhu ain dalam islam ialah ilmu yang berkaitan dengan pengabdian diri seorang hamba kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Ini adalah benteng yang paling kukuh dalam mengharungi kehidupan yang mempunyai berbagai rintangan dan cabaran. Rintangan kehidupan telah menjadi salah satu sebab ibubapa berkorban dan bersusah payah supaya anak-anaknya lolos mengharungi rintangan.
Dapat kita lihat, betapa besar dan agungnya pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan seorang anak, dengan kekuatan yang mereka ada, mereka berusaha melakukan sesuatu yang terbaik untuk kita, dan sekarang kita berpeluang untuk menuntut di peringkat tertinggi pengajian duniawi iaitu di Universiti. Kepada anak-anak yang sedang belajar di universiti, pernahkah kita terfikir untuk membalas jasa mereka?lebih daripada itu, pernahkah kita mendoakan mereka supaya mereka akan masuk syurga,diampunkan dosa-dosa mereka dan terselemat daripada api neraka?atau menghadiahkan pahala kita sebagai penuntut ilmu kepada mereka?